5 KHASIAT ARABIC GAM UNTUK KESIHATAN

Arabic gum adalah sejenis bahan yang boleh didapati daripada pokok Acacia daripada jenis Acacia senegal dan Acacia seyal yang boleh ditemui di negara-negara tropikal dan subtropikal seperti di India, Afrika, Sudan dan Nigeria. Di Malaysia, arabic gum boleh didapati dalam bentuk terproses seperti serbuk dan telah banyak dijual di pasaran.

#1 – Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Antara kebaikan arabic gum adalah ia boleh membantu untuk mengawal paras gula dalam darah. Terdapat satu kajian telah dijalankan ke atas 40 subjek yang terdiri daripada individu sihat, pesakit prediabetes, pesakit diabetes jenis 2, dan pesakit diabetes yang mempunyai masalah diabetes nefropati (kerosakan buah pinggang disebabkan diabetes).

Kajian itu mendapati bahawa pengambilan serbuk arabic gum sebanyak 10g sehari selama 16 minggu telah menurunkan paras gula semasa berpuasa dan bacaan gula selama tiga bulan yang lepas (HbA1c) di dalam semua pesakit diabetes.

Di samping itu, kajian itu juga mendapati bahawa terdapat penurunan di dalam bacaan creatinine bagi pesakit yang mempunyai masalah kerosakan buah pinggang sekaligus menunjukkan kesan perlindungan arabic gum terhadap buah pinggang daripada menjadi lebih teruk.

Hal ini kerana arabic gum kaya dengan serat larut yang boleh membantu menurunkan paras gula dalam darah. Jadi, jelaslah bahawa arabic gum bagus untuk pesakit diabetes.

#2 – Menurunkan Paras Kolesterol

Selain itu, arabic gum juga berupaya menurunkan paras kolesterol dalam darah. Kajian yang dijalankan terhadap pesakit yang mempunyai masalah hyperlipidemia (kandungan lemak tinggi dalam badan) telah mendapati bahawa pengambilan arabic gum boleh menurunkan paras kolesterol, trigliceride dan jumlah LDL-kolesterol (kolesterol baik) dalam darah.

Hal ini kerana arabic gum kaya dengan serat yang boleh meningkatkan penyingkiran kolesterol dari badan seterusnya  menurunkan paras kolesterol dalam darah.

#3 – Mengawal Tekanan Darah Tinggi

Arabic gum juga boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi. Terdapat satu kajian yang telah dijalankan terhadap pesakit buah pinggang kronik tahap 3 yang mempunyai tekanan darah tinggi. Kajian itu mendapati bahawa pengambilan 10-25g gum arabic yang dilarutkan di dalam 250ml air minuman dan diambil pada waktu pagi selama 16-18 minggu telah menurunkan tekanan darah tinggi pesakit tersebut.

Selain itu, kajian lain juga telah mendapati bahawa pengambil arabic gum sebanyak 10g sehari selama 16 minggu juga boleh menurunkan tekanan darah tinggi di dalam pesakit diabetes.  Oleh itu, ini menunjukkan bahawa arabic gum boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi dan membantu mengembalikannya menjadi normal.

#4 – Berpontensi Mencegah Kanser

Di samping itu, arabic gum juga berpotensi untuk mencegah penyakit kanser seperti kanser usus. Kajin mendapati bahawa arabic gum boleh membantu menurunkan sehingga 70% jumlah tumor di dalam tikus yang didedahkan dengan kanser usus. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa arabic gum berupaya mengubah gene tumor sekaligus boleh mencegah kanser. Oleh itu, ini jelas menunjukkan kesan antikarsinogenik arabic gum yang boleh membantu mencegah kanser.

#5 – Bagus Untuk Masalah Buah Pinggang

Arabic gum juga bagus untuk pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang. Pelbagai kajian telah dijalankan terhadap tikus yang telah mendapati potensi arabic gum bagi menurunkan bacaan urea dan creatinine yang tinggi sekaligus mampu mengelakkan masalah buah pinggang menjadi teruk.

Hal ini kerana pengambilan prebiotik seperti arabic gum boleh meningkatkan jumlah bakteria baik di dalam usus, meningkatkan proses penguraian urea di dalam usus sekaligus menurunkan bacaan urea di dalam darah. Di samping itu, kajian ke atas pesakit diabetes juga mendapati bahawa gum arabic boleh mencegah masalah kerosakan buah pinggang menjadi lebih teruk.

Selain itu, satu kajian yang dilaporkan pada tahun 2009 juga telah mendapati bahawa pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit buah pinggang tahap akhir dengan dialisis telah mendapati bahawa pemberian arabic gum bersama diet pemakanan yang betul telah berupaya memberi kebebasan dialisis selama 6 tahun kepada pesakit tersebut. Pesakit itu juga berupaya mengawal paras creatinine dan urea (penunjuk aras kerosakan buah pinggang) yang biasanya sukar dikawal apabila menjalani dialisis.

Oleh itu, dapat dilihat bahawa arabic gum bagus untuk pesakit buah pinggang kronik dan berpotensi untuk mencegahnya menjadi lebih teruk. Walaupun kajian sebelum ini menunjukkan keberkesanan arabic gum menggantikan dialisis atau merawat masalah buah pinggang, namun diingatkan bahawa gum arabic tidak boleh menggantikan ubat sedia ada dan diambil sewenang-wenangnya tanpa permerhatian dan nasihat pakar perubatan bagi pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang. Hal ini kerana setiap individu mempunyai faktor kesihatan yang berbeza.